SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH

11 Januari 2015 – Daripada Pengetua SMK Sri Kukup mengucapkan salam sejahtera dan salam 1Malaysia kepada semua warga SMK Sri Kukup.

Hari ini adalah hari pertama sekolah setelah bercuti yang cukup panjang, marilah kita menyambut hari ini dengan semangat yang penuh dengan cita-cita, bukan hanya semangat yang biasa-biasa.

Meskipun pagi ini diselubungi dengan pelbagai suasana, marilah kita berjalan menuju ke sekolah dengan mendokong cita-cita yang berukuran cukup besar. Semua akan menyanyi azam berazam lagu sekolah “Cita-cita Usaha Jaya”. Semua menyanyikan dengan bersemangat lagu “Bangsa Johor” yang megah. Semua berdoa kepada Maha Pencipta dengan aamiin yang sayu mengharap. Semua mendengar nasihat-menasihati daripada guru.  Merata pelusuk nusantara,  suka panggilan cikgu. Semuanya saling menghormati dengan sayang berkasih sayang. Diakhiri dengan lagu keramat “Negaraku” sebagai tanah tumpah darah kita. Marilah semua menuju kejayaan.

Selamat kembali ke sekolah.

Ditulis oleh En Selamat bin Haji Mon [Pengetua SMK Sri Kukup]

SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH

13 Disember 2014 – Daripada Pengetua SMK Sri Kukup mengucapkan salam sejahtera, salam 1Malaysia dan selamat kembali ke sekolah kepada semua warga SMK Sri Kukup.

Setelah bercuti sekolah, kita seharusnya merasai syabas dan tahniah kepada diri sendiri kerana dapat mengisi ruang cuti persekolahan dengan aktiviti-aktiviti bermakna. Tidaklah terlalu awal saya mengucapkan “Selamat Kembali Ke Sekolah” kepada semua murid, pelajar, guru, anggota kumpulan pelaksana dan warga sekolah. Adalah diharapkan semua pelajar akan lebih bersemangat dan dapat memberi tumpuan sepenuh terhadap pelajaran, terutamanya semasa berada di dalam kelas ketika guru mengajar pada sesi persekolahan tahun 2015. Para guru dan warga sekolah juga diharap bersemangat untuk lebih menunaikan kesempurnaan kerja dan tugas masing-masing.

Selama saya berada di sekolah ini, telah hampir selesai mengimbas, meneliti, mengamati, membaca data, memahami maklumat serta menganalisis rutin dan permasalahan, isu-isu strategik, kelebihan dan kekurangan, cabaran dan peluang, dan posisi sekolah. Pada tahun 2015 dan mendatang akan berlaku pelaksanaan kerja dan tugas guru dengan lebih mantap dan pantas demi mencapai kecemerlangan untuk memenuhi hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia terutamanya Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 Gelombang Pertama. Tentunya masih berlaku kekurangan kerana pelbagai punca terutamanya sumber-sumber yang terbatas, namun ianya akan dimanfaatkan dengan sebaiknya melalui perancangan taktikal dan operasi tahun 2015.

Matlamat yang berkesan adalah matlamat yang mencabar diri supaya tekun merancang dan lebih berusaha. Matlamat yang mencabar ini mampu merangsang minda kita berfikir lebih dan ianya akan memberikan momentum dorongan diri yang tinggi. Manakala matlamat yang biasa tidak mempunyai daya tarikan yang kuat. Sebelum memikir “ di luar kotak pemikiran”, adalah lebih baik kita “membesarkan pemikiran” kita supaya mencapai matlamat yang biasa dahulu. Oleh itu semua warga sekolah perlu ada matlamat yang jelas dengan setiap murid dan pelajar perlu boleh menetapkan cita-cita masing-masing.

Marilah kita semua membuat suatu transformasi atau perubahan yang signifikan. Ubahlah diri daripada kekurangan sesuatu kepada kelebihan sesuatu, daripada biasa-biasa kepada lebih bermakna. Transformasi yang nampak sangat mudah seperti murid dan pelajar memakai uniform sekolah dengan segak dan kemas, seperti semua guru mematuhi etika berpakaian dan bertanda nama, seperti perubahan bilik darjah bercirikan bilik darjah abad ke-21. Sementara transformasi  lebih sukar ialah perubahan tak nampak seperti murid dan pelajar tidak membuang masa dan berdisiplin, dan guru senantiasa siap siaga dengan strategi, kaedah, teknik dan pendekatan pedagogi abad ke-21 yang menggunakan 8 peta pemikiran di dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, contohnya.

Kejayaan sekolah bergantung kepada kejayaan warganya. Selamat Kembali Ke Sekolah.

Ditulis oleh En Selamat bin haji Mon [Pengetua SMK Sri Kukup]

TUGAS GURU KEPADA MURID

15 November 2014 – Daripada Pengetua SMK Sri Kukup mengucapkan salam sejahtera dan salam 1Malaysia kepada semua warga SMK Sri Kukup.

Semua guru mempunyai empat tugas utama iaitu menjaga, mengajar, membimbing dan membantu murid dan pelajarnya. Jika tiada murid, maka tiadalah sekolah. Jika tiada sekolah, maka tiadalah pekerjaan guru. Apabila ada murid, guru sewajarnya memastikan murid dan pelajar selamat semasa dalam pengawasan di sekolah, memastikan mereka berdisiplin dan memastikan kebajikan mereka dipenuhi. Anggota Kumpulan Pelaksana pula berperanan menyokong penyempurnaan tugas guru.

Banyak aspek-aspek kebajikan mesti dipenuhi, diantaranya Sistem Maklumat Murid (SMM), insurans, Skim Bantuan Buku Teks (SPBT), biasiswa dan bantuan, Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) melalui e-Kasih, Program Bersepadu Sekolah Sihat (PBSS), kantin, Program Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling (PPBK), Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa), Program Kebersihan, Keceriaan dan Keselamatan (3K), asrama, amalan budaya penyayang dan pengurusan data seperti Sistem Pengurusan Murid (SPS). Aspek-aspek keselamatan merangkumi menangani bencana alam, keluar masuk sekolah, persekitaran fizikal sekolah, keselamatan menyertai aktiviti luar, pencegahan kebakaran, tatacara pelaporan kes dan lain-lain lagi.

Aspek pengajaran guru bermula daripada penghayatan Sukatan Pelajaran (SP), Huraian Sukatan Pelajaran (HSP), Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) hinggalah Rancangan Pengajaran Harian (RPH). Asasnya ialah guru mengajar murid belajar. Tempoh masa instruksional perlu dijaga oleh guru sendiri. Guru seharusnya telah mempunyai Bahan Bantu Mengajar (BBM) secara fizikal dan maya. Guru sewajarnya telah menguasai pendekatan, kaedah, strategi dan teknik pengajaran berkesan yang dapat mencapai pembelajaran secara optimum. Pemantapan berterusan kepada penilaian, pentaksiran dan peperiksaan.

Cabaran terkini ialah guru perlu berubah atau lebih tepat lagi transformasi dalam pendidikan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Gelombang pertama PPPM menekankan kepada melatih pengetahuan dan kemahiran baharu guru seperti Program Penutur Jati, i-Think dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Dialog Prestasi memfokus analisis data secara bermakna dan Pelan Intervensi yang harus dilaksanakan tindakannya secara pantas. Seterusnya ialah menghasratkan Pembelajaran Abad Ke-21 secara capaian muktamad menggunakan Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC), Belajar Secara Berjalan (Learning Walk), Pemerhatian Pembelajaran (Learning Observation) dan pembangunan bilik darjah. Inilah Program Transformasi Daerah (DTP) sebagai tulang belakang PPPM yang mesti dijayakan oleh semua guru.

Saya bersama-sama pentadbir lain menyeru kepada semua warga SMK Sri Kukup supaya berfikiran positif terhadap semua dasar-dasar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kerajaan Malaysia. Marilah kita pantas pesat melaksanakan PPPM. SIRE-EURO Pelaksanaan Mantap, Tindakan Pantas – Kecemerlangan : Capaian Muktamad Sesebuah Organisasi. Sri Kukup Mantap, Pantas, dan Cemerlang. Hasrat saya dan sangat berharap agar semua warga akan bersama-sama memajukan Sri Kukup Showcase dalam jangkaan tempoh masa 3 tahun.

Ditulis oleh En Selamat bin Haji Mon [Pengetua SMK Sri Kukup]

BERFIKIRAN STRATEGIK MEREALISASIKAN KELAS ABAD KE-21 [BAHAGIAN 1]

10 November 2014 – Daripada Pengetua SMK Sri Kukup mengucapkan salam sejahtera dan salam 1Malaysia kepada semua warga SMK Sri Kukup.

Secara rasmi pada hari ini saya telah berada di SMK Sri Kukup selama 40 hari. Setelah dikaji dengan berdata saya melihat ada potensi untuk memajukan sekolah daripada taraf band 4 kepada band 3 dalam penarafan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM). Pada tahun 2015 adalah dicadangkan supaya ETR sebagaimana berikut :

PNGK STPM                          3.0

GPS SPM                                4.0

GPS Tingkatan 4                 4.0

GPS Ting 1, 2 dan 3           2.0

SKPM                                      95%

Adakah ianya mampu dicapai? Usaha Tangga Kejayaan.

 

Ditulis oleh En Selamat bin Haji Mon [Pengetua SMK Sri Kukup]