Pada 10 April 2015 [Jumaat] yang lalu, seramai 14 orang pelajar asrama SMKSK yang terdiri daripada Team Sri Kukup A dan Team Sri Kukup B telah menyertai Pertandingan Paintball Tertutup sempena Karnival Keusahawanan 2015 bertempat di Padang SMK Tun Aminah, Batu Pahat bermula jam 7.00 pagi hingga 6.00 petang. Program ini disertai dengan tujuan untuk menggalakkan pelajar bekerjasama dalam kumpulan, mencungkil bakat pelajar asrama sebagai persediaan untuk Pertandingan Paintball ASAT[Anugerah Seri Asrama Terbilang] di samping menarik minat pelajar untuk bergiat dalam sukan ekstrem paintball.
Terdapat lebih kurang 20 hingga 24 kumpulan yang menyertai pertandingan ini. Majoriti kumpulan terdiri dari sekolah-sekolah dalam daerah Batu Pahat manakala 4 daripadanya dari daerah Pontian iaitu 2 pasukan dari SMK Sri Kukup dan 2 lagi dari SMK Sri Tanjung. Dalam pertandingan tersebut, kedua-dua Team Sri Kukup A & B menang kesemua perlawanan dan mara hingga ke peringkat akhir. Dalam pertempuran peringkat akhir, Team Sri Kukup A berjaya menewaskan Team Sri Kukup B dan menjuarai pertandingan paintball tersebut. Manakala tempat ketiga dan keempat pula dimenangi oleh Team Sierra Fighters dan Munsyi Fighters dari SMK Munsyi Sulaiman, Batu Pahat.


Pihak sekolah ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jurulatih Paintball iaitu En Helmy bin A. Majid, Pengurus pasukan, En. Mohamad Fuad bin Mokhtar dan tidak lupa kepada bekas pelajar asrama SMKSK yang turut sama memberikan tunjuk ajar dan sokongan moral sehingga ke akhir pertandingan. Semoga pemain paintball Asrama SMKSK dapat menggunakan pengalaman yang diperoleh sepanjang pertandingan ini bagi merangka strategi untuk berjaya di Kejohanan Paintball ASAT pada bulan Mei nanti.
Laporan oleh En Mohamad Fuad bin Mokhtar [Pengurus Pasukan merangkap Warden Asrama]