Pada tanggal 7 Februari 2015 (Sabtu) yang lalu, SMKSK telah menyertai satu pertandingan bertemakan alam sekitar iaitu Iskandar Malaysia Sustainable and Low Carbon Schools Exhibition 2015. Pameran berstatus antarabangsa ini telah dianjurkan oleh Universiti Teknologi Malaysia, UTM-Low Carbon Asia Research Centre dengan kerjasama Centre for Engineering Education, Jepun dan Regional Centre of Expertise on Education for Sustainable Development, yang diperakui oleh United Nations University. Pertandingan yang dirasmikan oleh Datuk Ayub bin Rahmat ini dijalankan di Dewan Sultan Iskandar, UTM dari pukul 8.30 pagi sehingga 4.30 petang. Pasukan SMK Sri Kukup diketuai oleh En Mohamad Fuad bin Mokhtar sebagai pembentang utama, dibantu oleh En Chew Jian Yong dan tiga orang pelajar iaitu Azzanudean bin Baharudean [5 Permata], Muhammad Nur Haziq bin A Rahim [5 Intan] dan Nur Hammani bin Mohd Zarak [4 Intan].

Objektif pertandingan ini adalah untuk mendalami pengetahuan warga sekolah, sama ada guru atau pelajar, tentang cara-cara mengurangkan penghasilan karbon dan langkah-langkah untuk memelihara dan memulihara alam sekitar. Para peserta perlu menyediakan poster dan menjelaskan kepada para juri tentang projek-projek dan aktiviti-aktiviti hijau (green projects and activities) yang telah dan akan dilakukan di sekolah masing-masing.

Pertandingan ini disertai oleh sebanyak 30 buah sekolah menengah dan sekolah rendah di negeri Johor. Pasukan sekolah kita telah membuat persembahan yang begitu menarik dan akhir sekali, berjaya menerima Anugerah Gold Medal dan Anugerah Poster Terbaik.


Setinggi-tinggi terima kasih diucapkan kepada Tuan Pengetua, En Selamat bin Hj Mon, barisan pentadbir, guru-guru bidang sains dan matematik yang diketuai oleh En Loh Sian Ayek, guru-guru Unit Integrasi, guru-guru Mata Pelajaran Vokasional dan tidak lupa jua guru-guru yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam proses membantu menjayakan pameran dan pertandingan ini.


Dilaporkan oleh En Chew Jian Yong [Wakil Pasukan Go Green SMKSK]