LAPORAN RINGKAS & ULASAN PANEL PENILAI PERTANDINGAN MUSOLLA AL-HAKIM PERINGKAT NEGERI JOHOR

Alhamdulillah. Majlis Penilaian Pertandingan Musolla al-Hakim Peringkat Negeri Johor telah berjalan dengan lancar dan jayanya semalam pada 12 November 2014 .Penilaian telah dilakukan oleh dua orang panel penilai iaitu Ustaz Mahmud bin Kassim dan Ustaz Mohd. Najib bin Nadzar dari Sektor Pendidikan Islam,  JPNJ  serta diiringi oleh Penyelia Kanan Pendidikan Islam PPD Pontian ,Ustazah Khamisiyah binti Pathiroon. Ketibaan dan aluan kehadiran mereka disambut oleh barisan Jawatankuasa Musolla, barisan Imam Remaja dan Jawatankuasa Masjid Bandar Permas. Acara untuk penilaian telah disusun dengan baik dan berjalan mengikut aturannya iaitu dari sesi taklimat, penilaian & simulasi penentuan arah kiblat oleh Imam Remaja.

Antara ulasan panel dalam penilaian tersebut ;

1.Sambutan kehadiran panel sangat bagus kerana melibatkan pihak luar termasuk pihak masjid, PIBG dan sebagainya.

2.Aturcara penilaian teratur dan mesra untuk dinilai .

3.Peranan Imam Remaja ditonjolkan sepanjang penilaian ini iaitu dalam pengacaraan, bacaan doa, bacaan al-Quran dan simulasi penentuan arah qiblat.

4.Pengurusan fail dan bahan bukti menepati kehendak walaupun ada sedikit sebanyak teguran.

5.Pengurusan fizikal, kelengkapan dan hiasan termasuk lanskap (laman Pohon al-Falah & Laman Cerap Falak Syar’ie amat baik dan boleh dicontohi kerana satu-satunya sekolah yang ada laman cerap falak syarie serta mampu disimulasikan di depan pegawai.

6.Secara keseluruhannya amat baik dan mampu untuk diketengahkan insyaallah ke peringkat yang lebih tinggi.

Harapan pihak Jawatankuasa pertandingan sangat tinggi terhadap kejayaan ini, semoga segala sumbangan yang kita curahkan untuk transformasi musolla sehingga berlaku ke tahap ini amat dihargai dan dipohon barokah ilahi buat kita semua. Amiin.

Berikut adalah gambar-gambar sepanjang proses penilaian musolla.

Dilaporkan oleh Ustaz Mohd. Rozamli Bin Mohd. Rozak [Penyelaras  Musolla al-Falah SMK Sri Kukup]

TUGAS GURU KEPADA MURID

15 November 2014 – Daripada Pengetua SMK Sri Kukup mengucapkan salam sejahtera dan salam 1Malaysia kepada semua warga SMK Sri Kukup.

Semua guru mempunyai empat tugas utama iaitu menjaga, mengajar, membimbing dan membantu murid dan pelajarnya. Jika tiada murid, maka tiadalah sekolah. Jika tiada sekolah, maka tiadalah pekerjaan guru. Apabila ada murid, guru sewajarnya memastikan murid dan pelajar selamat semasa dalam pengawasan di sekolah, memastikan mereka berdisiplin dan memastikan kebajikan mereka dipenuhi. Anggota Kumpulan Pelaksana pula berperanan menyokong penyempurnaan tugas guru.

Banyak aspek-aspek kebajikan mesti dipenuhi, diantaranya Sistem Maklumat Murid (SMM), insurans, Skim Bantuan Buku Teks (SPBT), biasiswa dan bantuan, Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) melalui e-Kasih, Program Bersepadu Sekolah Sihat (PBSS), kantin, Program Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling (PPBK), Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa), Program Kebersihan, Keceriaan dan Keselamatan (3K), asrama, amalan budaya penyayang dan pengurusan data seperti Sistem Pengurusan Murid (SPS). Aspek-aspek keselamatan merangkumi menangani bencana alam, keluar masuk sekolah, persekitaran fizikal sekolah, keselamatan menyertai aktiviti luar, pencegahan kebakaran, tatacara pelaporan kes dan lain-lain lagi.

Aspek pengajaran guru bermula daripada penghayatan Sukatan Pelajaran (SP), Huraian Sukatan Pelajaran (HSP), Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) hinggalah Rancangan Pengajaran Harian (RPH). Asasnya ialah guru mengajar murid belajar. Tempoh masa instruksional perlu dijaga oleh guru sendiri. Guru seharusnya telah mempunyai Bahan Bantu Mengajar (BBM) secara fizikal dan maya. Guru sewajarnya telah menguasai pendekatan, kaedah, strategi dan teknik pengajaran berkesan yang dapat mencapai pembelajaran secara optimum. Pemantapan berterusan kepada penilaian, pentaksiran dan peperiksaan.

Cabaran terkini ialah guru perlu berubah atau lebih tepat lagi transformasi dalam pendidikan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Gelombang pertama PPPM menekankan kepada melatih pengetahuan dan kemahiran baharu guru seperti Program Penutur Jati, i-Think dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Dialog Prestasi memfokus analisis data secara bermakna dan Pelan Intervensi yang harus dilaksanakan tindakannya secara pantas. Seterusnya ialah menghasratkan Pembelajaran Abad Ke-21 secara capaian muktamad menggunakan Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC), Belajar Secara Berjalan (Learning Walk), Pemerhatian Pembelajaran (Learning Observation) dan pembangunan bilik darjah. Inilah Program Transformasi Daerah (DTP) sebagai tulang belakang PPPM yang mesti dijayakan oleh semua guru.

Saya bersama-sama pentadbir lain menyeru kepada semua warga SMK Sri Kukup supaya berfikiran positif terhadap semua dasar-dasar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kerajaan Malaysia. Marilah kita pantas pesat melaksanakan PPPM. SIRE-EURO Pelaksanaan Mantap, Tindakan Pantas – Kecemerlangan : Capaian Muktamad Sesebuah Organisasi. Sri Kukup Mantap, Pantas, dan Cemerlang. Hasrat saya dan sangat berharap agar semua warga akan bersama-sama memajukan Sri Kukup Showcase dalam jangkaan tempoh masa 3 tahun.

Ditulis oleh En Selamat bin Haji Mon [Pengetua SMK Sri Kukup]

READ2014 SEMPENA KEM MEMBACA 1MALAYSIA 2014

Kem Membaca 1 Malaysia [KM1M] merupakan satu aktiviti tahunan Kementerian Pendidikan Malaysia [KPM] bertujuan untuk menggalakkan pembacaan untuk mengisi waktu selepas peperiksaan hujung tahun dan seterusnya mengekalkan momentum pembelajaran murid. Sehubungan dengan itu, Program “Read2014” sempena Kem Membaca 1 Malaysia [KM1M] 2014 Peringkat Sekolah telah diadakan pada 4-6 hb November 2014 melibatkan seramai 204 orang murid Tingkatan 3 dan 95 orang guru.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan melalui program ini. Berikut adalah gambar-gambar aktiviti sepanjang program.

Dilaporkan oleh Pn Siti Murshida binti Mahasan [Guru Media SMK Sri Kukup] 

PELAKSANAAN STRATEGI KOMUNITI PEMBELAJARAN PROFESIONAL (PLC) DALAM KALANGAN GURU SMK SRI KUKUP BERMULA PADA TAHUN 2015

15 November 2014 – Daripada Pengetua SMK Sri Kukup mengucapkan salam sejahtera dan salam 1Malaysia kepada semua warga SMK Sri Kukup.

Diantara tujuan PLC adalah  untuk mengunakan kemahiran dan pengetahuan guru sedia ada, ditambahbaik dan diperbaharui. Ianya dapat membina hubungan yang berkualiti dalam kalangan guru. Pelaksanaan PLC yang mantap memberi banyak faedah. Dalam penulisan ini, saya tidak memfokuskan takrif dan faedah PLC kerana apabila pelaksanaannya berlaku, secara langsung akan merasai faedah PLC kepada semua. Saya memfokuskan strategi PLC yang perlu dimulakan pada tahun 2015. Idea ini sangat baharu dalam kalangan warga SMK Sri Kukup, walaupun ianya terlambat secara perbandingan dengan sekolah-sekolah terkehadapan, namun masih sempat untuk diikuti.

Strategi PLC Belajar Secara Berjalan (Learning Walk) bermaksud Pengetua, Penolong Kanan dan Guru Kanan Mata Pelajaran membentuk pemantauan secara berfokus dan bertema. Berjalan di sekeliling sekolah dan memerhatikan pengajaran guru lain dan aktiviti bilik darjah dengan mengunakan protokol atau fokus yang spesifik.

Strategi PLC Bimbingan Rakan Sebaya Guru atau Pembimbing Instruksi (Peer Coaching / Instructional Coaches) ialah secara sistematik memerhatikan pengajaran guru lain dengan menggunakan kitaran pra-konferens, pemerhatian dan pasca-konferens (pre-conference, observation, post-conference cycle). Sekolah akan menetapkan tempoh pelaksanaan peer coaching. Tempoh pelaksanaan adalah selepas aktiviti pembinaan Rancangan Pengajaran Harian (RPH). Peer coaching hendaklah melibatkan semua ahli panitia. Seorang guru yang mengajar perlu dipilih. Panitia dikehendaki memaklumkan hari dan masa pelaksanaan peer coaching untuk tujuan pemantauan.

Strategi PLC Belajar Menggunakan Rancangan Pengajaran Harian (Lesson Study) ialah sekumpulan guru usaha sama membina satu rancangan pengajaran, diikuti dengan pengajaran, memerhatikan pengajaran, membuat penambahbaikan semasa sesi pengajaran. Panitia mata pelajaran melaksanakan Teacher Sharing Sessions iaitu berbincang tentang dapatan daripada Peer Coaching. Isu perbincangan berkisar kepada pedagogi guru, aktiviti pembelajaran kolaboratif (berkongsi idea) dan koperatif (berkumpulan), Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), i-Think dengan 8 peta pemikiran menggunakan alat visual di sekolah pemikiran dan Bahan Bantu Mengajar (BBM).

Strategi PLC Perkongsian Guru (Teacher Sharing Sessions) ialah sekumpulan guru bertemu secara kerap untuk berkongsi amalan pengajaran terbaik. Sekolah akan menyediakan platform menetapkan hari dan jam untuk panitia mata pelajaran melaksanakan Teacher Sharing Sessions atau Lesson Study membina RPH. RPH dibina oleh panitia dengan mengambil kira aktiviti pembelajaran kolaboratif dan koperatif dan i-Think.

Instrumen yang digunakan ialah Instrumen Learning Walk Bilik Darjah Abad Ke-21, Instrumen Learning Walk – Teacher Sharing Sessions atau Lesson Study dan Instrumen Learning Walk – Peer Coaching atau Pembelajaran dan Pengajaran (PdP). Data Learning Walk perlu dianalisis dan dinilai untuk tujuan penambahbaikan. Saya menyeru semua warga SMK Sri Kukup menyahut cabaran PLC dengan fikiran terbuka dan positif.

 Ditulis oleh En Selamat bin Haji Mon [Pengetua SMK Sri Kukup]