TEKNIK MENJAWAB REKACIPTA SPM 2014

Panitia Rekacipta SMKSK telah menganjurkan program Teknik Menjawab Rekacipta SPM pada 16 Oktober 2014 [Khamis] bertempat di Bilik Tayang SMKSK pada pukul 8.30 hingga 10.30 pagi. Program ini melibatkan 30 orang pelajar dari Tingkatan 5 Mutiara, 5 Delima dan 5 Zamrud yang mengambil matapelajaran Rekacita. Program ini dianjurkan bagi membantu pelajar mengetahui teknik-teknik menjawab kertas Rekacipta SPM dan juga mengetahui kaedah latih tubi sebelum peperiksaan. Ceramah disampaikan oleh En Zulkurnain bin Abdul Rahman, guru berpengalaman dalam mata pelajaran Rekacipta dari SMK Ayer Baloi, Pontian. Semoga dengan adanya program ini, Gred Pencapaian Mata Pelajaran Rekacipta SPM tahun ini lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya


Laporan oleh En Zaki Faisal bin Khamisan

SELAMAT DATANG PENGETUA BARU SMKSK

SMK Sri Kukup telah menerima Pengetua baru iaitu En Selamat bin Mon bagi menggantikan Pn Hjh Rohani binti Ab Manaf yang telah bertukar ke SMK Ayer Baloi. Sebelum ini, En Selamat bin Mon merupakan Guru Penolong Kanan Pentadbiran SMK Benut. Warga SMK Sri Kukup amat berbesar hati menerima kehadiran En Selamat bin Mon. Selamat Datang & Selamat Bertugas.

Pengetua SMKSK, En Selamat bin Mon

LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE IPT

Pada 13 hingga 14 hb Oktober 2014 yang lalu, Panitia Sivik dan Kewarganegaraan dengan kerjasama Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Sri Kukup telah menganjurkan lawatan sambil belajar ke Institut Pengajian Tinggi sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan. Program yang disertai oleh 35 orang pelajar dan 4 orang guru pengiring ini bertujuan untuk mengetahui peluang-peluang kerjaya di dalam dan di luar negara serta mengetahui peluang-peluang pendidikan di Institut Pengajian Tinggi Swasta. Antara IPTS yang dilawati ialah Manipal International University, DSH Institute of Technology, Oasis College, International University of Malaya-Wales dan VETA Academy.

Pihak sekolah juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Mr Anthony Adaikalam daripada Syarikat Global Education Training and Services [GETS] yang telah membantu dalam menjayakan program ini.

Berikut adalah gambar-gambar sepanjang lawatan.

Laporan oleh En Hadi Abd Munir bin Jamhari

FUTSAL PIALA MENTERI PELAJARAN 1 MURID 1 SUKAN

Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah [MSSD] Pontian telah menganjurkan Pertandingan Futsal Kejohanan Piala Menteri Pendidikan Peringkat Daerah Pontian Tahun 2014 sempena Program 1 Murid 1 Sukan bertempat di Dewan Futsal Kukup Sport Arena. Sukacita dimaklumkan bahawa pasukan futsal dari SMK Sri Kukup telah berjaya menjadi Naib Johan dalam pertandingan tersebut dengan keputusan perlawanan akhir berkesudahan 1-1 dan tewas dalam penentuan penalti 3-2. Dalam kumpulan, pasukan SMK Sri Kukup telah mengalahkan SMK Parit Betak 3-0 dan SMK Telok Kerang 2-1. Di Suku akhir SMK Sri Kukup menewaskan SMK Dato Yunus Sulaiman 3-2. Manakala di Separuh akhir, menewaskan SMK Dato Ali Haji Ahmad 2-0. Kejohanan ini dapat mengasah bakat para pelajar dalam acara sukan futsal terutamanya pelajar yang tidak pernah mewakili sekolah dalam mana-mana kejohanan sukan pada tahun ini.

Laporan oleh En Zaki Faisal bin Khamisan.