GOTONG-ROYONG GANYANG AEDES

Gotong-royong sempena program Ganyang Aedes anjuran Unit Kesihatan, 3K telah diadakan pada 19 Februari 2014 [Rabu]. Gotong-royong ini dijalankan pada waktu kokurikulum mengikut pasukan unit beruniform. Objektif program ini ialah untuk membersihkan kawasan sekolah dan memusnahkan tempat yang berpotensi bagi pembiakan nyamuk aedes.

Gambar di bawah menunjukkan pasukan Pandu Puteri sekolah melakukan gotong-royong ganyang aedes.

PROGRAM STAR: PERFECT SCORE PMR & SPM 2014

Pada 20 Februari 2013, SMK Sri Kukup telah melancarkan Majlis Pelancaran Program Perfect Score PMR & SPM 2014 bertempat di Dewan Makan Asrama sekolah. Pelajar yang terpilih sebagai calon Perfect Score tahun ini terdiri daripada 16 orang pelajar Tingkatan 3 dan 16 orang pelajar Tingkatan 5.

Objektif majlis ini adalah untuk bertemu ibubapa calon Perfect Score di samping menunjukkan prestasi awal pelajar dan jangkaan peperiksaan yang sebenar. Selain itu ia juga bertujuan memberitahu ibubapa pelajar tentang aktiviti-aktiviti yang bakal dijalankan oleh pihak sekolah khusus untuk calon-calon Perfect Score.

Pihak sekolah juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada ibubapa pelajar yang telah memberikan kerjasama kepada pihak sekolah dan sudi hadir pada majlis ini. Ucapan tahniah ditujukan kepada pelajar-pelajar yang terpilih dalam program ini. Semoga anda terus cemerlang dan berjaya dalam PMR dan SPM 2014.

Berikut adalah gambar-gambar sekitar pelancaran program ini.

Penyambut ibubapa dan kaunter pendaftaran

Ucapan perasmian

Calon Perfect Score bersama ibubapa masing-masing

LDP: FROG VLE

Pada 17 dan 18 Februari yang lalu, Unit ICT telah mengadakan Latihan Dalam Perkhidmatan [LDP] untuk guru berkenaan dengan Persekitaran Pembelajaran Maya Frog (VLE). Persekitaran Pembelajaran Maya Frog  adalah satu sistem pembelajaran berasaskan web yang menyerupai dunia pembelajaran sebenar dengan mengintegrasikan konsep pendidikan konvensional dengan kaedah maya. Sebagai contoh, guru-guru dapat memberi tugasan, ujian dan menyemak tugasan secara maya, sementara pelajar dapat menghantar tugasan dan menyemak markah menerusi VLE. Ibu bapa boleh berkomunikasi dengan pihak sekolah manakala pentadbir sekolah boleh menguruskan kalendar sekolah dan mewar-warkan notis sekolah melalui Internet.

Berikut adalah gambar-gambar sekitar LDP yang dijalankan.

MAJLIS PERPISAHAN CIK CHUA

Majlis perpisahan untuk Cik Chua Pei Sing telah diadakan pada 13 Februari 2014 sempena pertukaran beliau ke SMK Tun Dr Ismail, Bakri, Muar. Untuk makluman semua, Cik Chua telah berkhidmat di SMK Sri Kukup selama 7 tahun. Sepanjang perkhidmatan beliau, beliau adalah seorang guru yang sangat komited dan cemerlang dalam menjalankan tugas yang diamanahkan. Perpindahan beliau merupakan kehilangan yang besar bagi pihak sekolah, rakan-rakan guru dan murid-murid. Walau bagaimanapun, pihak sekolah ingin mengucapkan selamat bertugas di sekolah baru dan selamat maju jaya.

Majlis perpisahan anjuran Persatuan Bahasa Cina

Majlis perpisahan anjuran sekolah