SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH

13 Disember 2014 – Daripada Pengetua SMK Sri Kukup mengucapkan salam sejahtera, salam 1Malaysia dan selamat kembali ke sekolah kepada semua warga SMK Sri Kukup.

Setelah bercuti sekolah, kita seharusnya merasai syabas dan tahniah kepada diri sendiri kerana dapat mengisi ruang cuti persekolahan dengan aktiviti-aktiviti bermakna. Tidaklah terlalu awal saya mengucapkan “Selamat Kembali Ke Sekolah” kepada semua murid, pelajar, guru, anggota kumpulan pelaksana dan warga sekolah. Adalah diharapkan semua pelajar akan lebih bersemangat dan dapat memberi tumpuan sepenuh terhadap pelajaran, terutamanya semasa berada di dalam kelas ketika guru mengajar pada sesi persekolahan tahun 2015. Para guru dan warga sekolah juga diharap bersemangat untuk lebih menunaikan kesempurnaan kerja dan tugas masing-masing.

Selama saya berada di sekolah ini, telah hampir selesai mengimbas, meneliti, mengamati, membaca data, memahami maklumat serta menganalisis rutin dan permasalahan, isu-isu strategik, kelebihan dan kekurangan, cabaran dan peluang, dan posisi sekolah. Pada tahun 2015 dan mendatang akan berlaku pelaksanaan kerja dan tugas guru dengan lebih mantap dan pantas demi mencapai kecemerlangan untuk memenuhi hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia terutamanya Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 Gelombang Pertama. Tentunya masih berlaku kekurangan kerana pelbagai punca terutamanya sumber-sumber yang terbatas, namun ianya akan dimanfaatkan dengan sebaiknya melalui perancangan taktikal dan operasi tahun 2015.

Matlamat yang berkesan adalah matlamat yang mencabar diri supaya tekun merancang dan lebih berusaha. Matlamat yang mencabar ini mampu merangsang minda kita berfikir lebih dan ianya akan memberikan momentum dorongan diri yang tinggi. Manakala matlamat yang biasa tidak mempunyai daya tarikan yang kuat. Sebelum memikir “ di luar kotak pemikiran”, adalah lebih baik kita “membesarkan pemikiran” kita supaya mencapai matlamat yang biasa dahulu. Oleh itu semua warga sekolah perlu ada matlamat yang jelas dengan setiap murid dan pelajar perlu boleh menetapkan cita-cita masing-masing.

Marilah kita semua membuat suatu transformasi atau perubahan yang signifikan. Ubahlah diri daripada kekurangan sesuatu kepada kelebihan sesuatu, daripada biasa-biasa kepada lebih bermakna. Transformasi yang nampak sangat mudah seperti murid dan pelajar memakai uniform sekolah dengan segak dan kemas, seperti semua guru mematuhi etika berpakaian dan bertanda nama, seperti perubahan bilik darjah bercirikan bilik darjah abad ke-21. Sementara transformasi  lebih sukar ialah perubahan tak nampak seperti murid dan pelajar tidak membuang masa dan berdisiplin, dan guru senantiasa siap siaga dengan strategi, kaedah, teknik dan pendekatan pedagogi abad ke-21 yang menggunakan 8 peta pemikiran di dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, contohnya.

Kejayaan sekolah bergantung kepada kejayaan warganya. Selamat Kembali Ke Sekolah.

Ditulis oleh En Selamat bin haji Mon [Pengetua SMK Sri Kukup]

BERSYUKUR SMK SRI KUKUP

3 Disember 2014 – Daripada Pengetua SMK Sri Kukup mengucapkan salam sejahtera, salam 1Malaysia dan selamat bercuti kepada semua warga SMK Sri Kukup.

Syukur saya ke hadrat  Allah S.W.T. kerana murid Tingkatan 5 dan pelajar Tingkatan 6 telah menduduki peperiksaan awam dengan sempurna. Hanya kepadaNya kami berserah untuk kejayaan yang dihasratkan. Ramai guru dan staf yang bercuti, semoga dapat bersama-sama keluarga dengan pengisian yang bermanfaat, ceria dan gembira. Namun begitu masih ramai dalam kalangan pentadbir dan staf yang masih bekerja mengurus perjalanan sekolah.

Pada kesempatan ini, saya sedang mengikuti Bengkel Kerja PRIme (Program Residency dan Immersion) selama 5 hari dalam memenuhi perancangan dan pelaksanaan anjakan ke-5 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, Gelombang Pertama iaitu memastikan kepimpinan berprestasi tinggi di tempatkan di setiap sekolah. Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memperkukuh kriteria pemilihan dan proses penggantian bagi Pengetua dan Guru Besar (PGB) mulai 2013. KPM juga melaksanakan Pakej Kerjaya PGB yang baharu secara berperingkat, dengan lebih sokongan dan kebertanggungjawaban yang tinggi bagi meningkatkan keberhasilan murid.

Saya ingin memaklumkan maklumat-maklumat berikut (tertakluk kepada perubahan) sebagai panduan untuk semua iaitu:

Bil

Aktiviti

Tarikh

Masa

Tempat

1

Penyelarasan kerja-kerja Buku Panduan Pengurusan Sekolah  2015

07 hingga 11.12.14

8.30 pg

Dewan Makan Asrama

2

Majlis Penyampaian Pentaksiran Tingkatan 3/ PT3

22.12.14

10.00 pg

Dewan Seri Gemilang

3

Pembelian barang keperluan sekolah 2015 bagi Tingkatan 2, 3 dan 5

23 hingga 24.12.14

9.00-12.00 tgh

Koperasi SMK Sri Kukup

4

Mesyuarat Guru Awal Tahun 2015

28.12.14

8.30 pg

Dewan Seri Cemara

5

Mesyuarat Kurikulum Bil 1/2015

29.12.14

8.30 pg

Dewan Seri Cemara

6

Mesyuarat Panitia Mata Pelajaran Bil 1/2015

29.12.14

11.30 pg

Ditentukan mengikut bidang

7

Mesyuarat HEM Bil 1/2015

30.12.14

8.30 pg

Dewan Seri Cemara

8

Mesyuarat Kokurikulum Bil 1/2015

30.12.14

11.30 pg

Dewan Seri Cemara

9

Pendaftaran Peralihan dan Tingkatan 1 2015

31.12.14

8.00 pg

Dewan Seri Kemuning

10

LDP Bil 1/2015 [Pembelajaran Abad ke-21]

01.01.15

8.00-2.00 tgh

Dewan Seri Cemara

11

Hari Pertama Sekolah 2015

04.01.15

7.25 pagi

Dewan Seri Gemilang

12

Pembelian barang keperluan sekolah 2015 bagi Tingkatan 4

06 hingga 07.01.15

Selepas  waktu persekolahan sesi pagi

Koperasi SMK Sri Kukup

Ditulis oleh En Selamat bin Haji Mon [Pengetua SMK Sri Kukup]

LAPORAN RINGKAS & ULASAN PANEL PENILAI PERTANDINGAN MUSOLLA AL-HAKIM PERINGKAT NEGERI JOHOR

Alhamdulillah. Majlis Penilaian Pertandingan Musolla al-Hakim Peringkat Negeri Johor telah berjalan dengan lancar dan jayanya semalam pada 12 November 2014 .Penilaian telah dilakukan oleh dua orang panel penilai iaitu Ustaz Mahmud bin Kassim dan Ustaz Mohd. Najib bin Nadzar dari Sektor Pendidikan Islam,  JPNJ  serta diiringi oleh Penyelia Kanan Pendidikan Islam PPD Pontian ,Ustazah Khamisiyah binti Pathiroon. Ketibaan dan aluan kehadiran mereka disambut oleh barisan Jawatankuasa Musolla, barisan Imam Remaja dan Jawatankuasa Masjid Bandar Permas. Acara untuk penilaian telah disusun dengan baik dan berjalan mengikut aturannya iaitu dari sesi taklimat, penilaian & simulasi penentuan arah kiblat oleh Imam Remaja.

Antara ulasan panel dalam penilaian tersebut ;

1.Sambutan kehadiran panel sangat bagus kerana melibatkan pihak luar termasuk pihak masjid, PIBG dan sebagainya.

2.Aturcara penilaian teratur dan mesra untuk dinilai .

3.Peranan Imam Remaja ditonjolkan sepanjang penilaian ini iaitu dalam pengacaraan, bacaan doa, bacaan al-Quran dan simulasi penentuan arah qiblat.

4.Pengurusan fail dan bahan bukti menepati kehendak walaupun ada sedikit sebanyak teguran.

5.Pengurusan fizikal, kelengkapan dan hiasan termasuk lanskap (laman Pohon al-Falah & Laman Cerap Falak Syar’ie amat baik dan boleh dicontohi kerana satu-satunya sekolah yang ada laman cerap falak syarie serta mampu disimulasikan di depan pegawai.

6.Secara keseluruhannya amat baik dan mampu untuk diketengahkan insyaallah ke peringkat yang lebih tinggi.

Harapan pihak Jawatankuasa pertandingan sangat tinggi terhadap kejayaan ini, semoga segala sumbangan yang kita curahkan untuk transformasi musolla sehingga berlaku ke tahap ini amat dihargai dan dipohon barokah ilahi buat kita semua. Amiin.

Berikut adalah gambar-gambar sepanjang proses penilaian musolla.

Dilaporkan oleh Ustaz Mohd. Rozamli Bin Mohd. Rozak [Penyelaras  Musolla al-Falah SMK Sri Kukup]

TUGAS GURU KEPADA MURID

15 November 2014 – Daripada Pengetua SMK Sri Kukup mengucapkan salam sejahtera dan salam 1Malaysia kepada semua warga SMK Sri Kukup.

Semua guru mempunyai empat tugas utama iaitu menjaga, mengajar, membimbing dan membantu murid dan pelajarnya. Jika tiada murid, maka tiadalah sekolah. Jika tiada sekolah, maka tiadalah pekerjaan guru. Apabila ada murid, guru sewajarnya memastikan murid dan pelajar selamat semasa dalam pengawasan di sekolah, memastikan mereka berdisiplin dan memastikan kebajikan mereka dipenuhi. Anggota Kumpulan Pelaksana pula berperanan menyokong penyempurnaan tugas guru.

Banyak aspek-aspek kebajikan mesti dipenuhi, diantaranya Sistem Maklumat Murid (SMM), insurans, Skim Bantuan Buku Teks (SPBT), biasiswa dan bantuan, Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) melalui e-Kasih, Program Bersepadu Sekolah Sihat (PBSS), kantin, Program Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling (PPBK), Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa), Program Kebersihan, Keceriaan dan Keselamatan (3K), asrama, amalan budaya penyayang dan pengurusan data seperti Sistem Pengurusan Murid (SPS). Aspek-aspek keselamatan merangkumi menangani bencana alam, keluar masuk sekolah, persekitaran fizikal sekolah, keselamatan menyertai aktiviti luar, pencegahan kebakaran, tatacara pelaporan kes dan lain-lain lagi.

Aspek pengajaran guru bermula daripada penghayatan Sukatan Pelajaran (SP), Huraian Sukatan Pelajaran (HSP), Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) hinggalah Rancangan Pengajaran Harian (RPH). Asasnya ialah guru mengajar murid belajar. Tempoh masa instruksional perlu dijaga oleh guru sendiri. Guru seharusnya telah mempunyai Bahan Bantu Mengajar (BBM) secara fizikal dan maya. Guru sewajarnya telah menguasai pendekatan, kaedah, strategi dan teknik pengajaran berkesan yang dapat mencapai pembelajaran secara optimum. Pemantapan berterusan kepada penilaian, pentaksiran dan peperiksaan.

Cabaran terkini ialah guru perlu berubah atau lebih tepat lagi transformasi dalam pendidikan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Gelombang pertama PPPM menekankan kepada melatih pengetahuan dan kemahiran baharu guru seperti Program Penutur Jati, i-Think dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Dialog Prestasi memfokus analisis data secara bermakna dan Pelan Intervensi yang harus dilaksanakan tindakannya secara pantas. Seterusnya ialah menghasratkan Pembelajaran Abad Ke-21 secara capaian muktamad menggunakan Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC), Belajar Secara Berjalan (Learning Walk), Pemerhatian Pembelajaran (Learning Observation) dan pembangunan bilik darjah. Inilah Program Transformasi Daerah (DTP) sebagai tulang belakang PPPM yang mesti dijayakan oleh semua guru.

Saya bersama-sama pentadbir lain menyeru kepada semua warga SMK Sri Kukup supaya berfikiran positif terhadap semua dasar-dasar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kerajaan Malaysia. Marilah kita pantas pesat melaksanakan PPPM. SIRE-EURO Pelaksanaan Mantap, Tindakan Pantas – Kecemerlangan : Capaian Muktamad Sesebuah Organisasi. Sri Kukup Mantap, Pantas, dan Cemerlang. Hasrat saya dan sangat berharap agar semua warga akan bersama-sama memajukan Sri Kukup Showcase dalam jangkaan tempoh masa 3 tahun.

Ditulis oleh En Selamat bin Haji Mon [Pengetua SMK Sri Kukup]