Pada 12, 13 dan 14 Oktober yang lalu, pasukan Paintball asrama SMKSK yang mewakili negeri Johor telah bertandang ke Shah Alam untuk bertanding dalam Pertandingan Paintball Anugerah Seri Asrama Terbilang Peringkat Kebangsaan 2012. Kontinjen telah menginap di SMK Seksyen 18, dan bertanding di Shah Alam Extreme Park. Pasukan SMKSK telah mengungguli Kumpulan C, dengan mengalahkan pasukan Selangor, Terengganu, dan Pahang. Pada pusingan suku akhir, pasukan SMKSK telah buat pertama kalinya kecundang kepada pasukan Negeri Sembilan, tetapi telah berjaya melayakkan diri ke Separuh Akhir dengan mengalahkan Selangor. Sekali lagi, pasukan SMKSK telah menunjukkan belangnya dengan menjinakkan juara bertahan, Pulau Pinang. Di pentas akhir, pasukan dari SMKSK telah membuktikan kemampuannya setelah menjadi juara pertandingan dengan mengalahkan pasukan dari Melaka. Lebih menggembirakan, pertandingan Paintball kategori wanita juga telah dijuarai oleh pasukan Johor yang diwakili oleh pelajar dari SMK Bandar Putra, Kulai. Tahniah dan syabas kepada semua ‘paintballers’ SMKSK.
Dilaporkan oleh Cikgu Mohd Izzat